Header Ads

Seo Services

Mendidik Diri Di Lampu Isyarat


Mendidik Diri Di Lampu Isyarat

Semua orang inginkan agar dirinya ada sifat kesabaran. Seringkali jika kita sedang koreksi diri, muhasabah diri, antara perkara yang kita inginkan adalah agar kita menjadi seorang yang sabar. Yang mampu bertenang tika mana ujian dan mehnah datang bertamu. Ianya berkait rapat dengan sejauh mana kita mendidik hati kita.

Betapa sukar mahu mendidik hati. Saban hari kita melalui kehidupan ini, pelbagai perkara yang kita telah harungi dengan pelbagai rencah dan karenah. Apabila kita merenung semula kelakuan-kelakuan yang telah dilakukan, adakah semua kelakuan yang dilakukan itu adalah yang baik, yang mampu memberi manfaat buat diri dan juga suasana sekeliling?

Mudahnya begini. Apa yang kita fikir, apa yang kita, ianya yang menentukan isi hidup kita. Ianya yang memberi kesan sampingan terhadap tingkah laku, emosi, persepsi dan juga sahsiah pada diri seseorang.

Hakikat yang perlu diakui adalah, tidak ramai antara kita yang mampu mendidik diri. Perkara ini yang menyebabkan kadang-kadang kita berasa tidak tenteram, sering muram, sentiasa dselubungi masalah, dan apa yang dilakukan kadangkala serba tidak keruan.

Bagaimana mahu mendidik diri? Mendidik hati?

Mungkin ada banyak caranya. Tetapi di dalam tulisan ini, difokuskan hanya satu sahaja cara mendidik diri. Iaitu:

Mematuhi Lampu Isyarat.

Ya, satu perkara yang mungkin di anggap remeh oleh sesetengah pihak. Malah saya sendiri banyak menyaksikan ramai orang tidak ambil kisah dengan peraturan lampu isyarat. Yang lebih menyedihkan, ada di kalangan agamawan pun tidak ambil kisah dan mengambil mudah peraturan lampu isyarat.

Mematuhi lampu isyarat memang kadangkala menguji kesabaran. Apatah lagi kepada penunggang motosikal. Istilah ‘cilok’ biasa kedengaran dalam situasi di lampu isyarat. Persoalannya, mengapa mesti melanggar peraturan lampu isyarat? Ianya bukan sahaja mementingkan diri sendiri malah membahayakan orang lain.

Apa salahnya patuh kepada peraturan lampu isyarat. Jangan dilihat ianya hanya semata-mata peraturan jalan raya. Tetapi ianya lebih kepada mendidik diri sendiri. Ianya juga boleh melatih meningkatkan tahap kesabaran dan sahsiah diri sendiri.

Cuba bayangkan, ketika anda melanggar peraturan lampu isyarat. Pengguna jalan raya yang lain akan menyumpah seranah anda. Atau mungkin pengguna jalan raya lain memaki anda di dalam hati. Secara tidak lansung, orang lain telah menilai anda dengan orang buruk sahsiah dan ianya memberi kesan terhadap diri anda kerana persepsi itu akan mempengaruhi sekeliling anda. Tidak mustahil, jika ianya juga berstatus doa.

trafic lightBagi komuniti setempat, mungkin ada antara kita terkenal sebagai orang yang dikenali, mungkin juga orang yang dihormati oleh orang lain, perbuatan melanggar lampu isyarat memberi imej negatif kepada orang dirinya. Kelak akan ada yang bercakap-cakap, “dia itu selalu bercakap agama, tetapi selalu langgar traffic light, macam mana orang nak respect dia?”

Pada sudut diri sendiri, perbuatan melanggar lampu isyarat akan menyebabkan diri kita terbiasa untuk membuat sesuatu dengan tergopoh-gopoh. Ianya menyebabkan kita tidak kisah untuk melanggar peraturan jalan raya yang lain yang berkemungkinan mencuri hak pengguna jalan raya yang lain.

Jadi, pengajaran yang ingin disampaikan di sini, mematuhi peraturan lampu isyarat mampu untuk membentuk sahsiah diri sendiri dan mendidik diri dan hati kita yang mungkin sering berkecamuk dengan pelbagai sifat mazmumah. Mematuhi lampu isyarat bukanlah sesuatu yang sukar, maka cubalah untuk kita melatih kesabaran dan iltizam dalam diri agar mampu mendidik hati ke arah insan yang lebih baik.

*Kalau dah tengah malam-malam buta, di kala jalanraya lengang tiada kenderaan, itu dah cerita lain. Tapi kalau anda tetap mampu untuk patuh peraturan lampu isyarat pada ketika itu, anda memang hebat!

No comments