Header Ads

Seo Services

Hakikat Punca Kelazatan - Dr MAZA



HAKIKAT PUNCA KELAZATAN

Saya berada di Mekah sekarang sebagai tetamu Muktamar Muslim World League. Muktamar berlangsung di hotel yang berhampiran Masjidil Haram.

Malam tadi malam 23 Ramadan Masjidil Haram memang padat. Dalam dan luar Masjid dipenuhi manusia. Jutaan manusia beriktikaf dalam bersolat.

Pukul 1 pagi saya menuju ke Masjid untuk menyertai qiyam. Memang sesak. Amat susah nak dapat tempat solat sekalipun di tingkat atas. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga.

Setelah Imam selesai iaitu hampir pukul 3 pagi, ramai juga orang yang keluar Masjid untuk bersahur. Sementara masih ramai yang bersahur dalam Masjid dengan makanan yang mereka bawa.

Saya hanya membawa 3 biji tamar. Melihat orang keliling yang makan pelbagai roti, teringat kepada menu sahur di hotel kami yang hebat. Di hotel, pelbagai jenis makanan sedap dan mewah yang disediakan. Selepas minum air Zamzam bersama tamar tersebut, saya berhasrat untuk balik bersahur di hotel. Semasa saya ingin berjalan keluar saya terfikir, jika saya keluar bimbang susah mahu mendapatkan semula tempat dalam Masjid. Saya pun berdoa agar Allah berikan saya rezeki sahur yang lebih baik tanpa perlu pulang ke hotel.

Saya tidak jadi keluar dan mencari ruang kosong untuk duduk semula. Apabila saya lihat ada ruang suatu tempat yang boleh untuk saya duduk dan solat, saya duduk di situ. Tiba-tiba orang sebelah saya mengeluarkan roti serta jubnah yang sangat putih. Dia dari Negara Afrika Kenya. Dia memberikan potongan roti dan mengajak saya makan bersama. Walaupun roti dan jubnah itu seperti yang biasa saya makan, tapi saya dapat merasa ketika itu betapa sedapnya makanan tersebut. Setiap suapan roti itu saya nikmati dengan penuh kelazatan. Alhamdulillah.

Apa yang ingin saya kongsikan, hakikatnya, kelazatan dan kenikmatan dalam kehidupan ini, bukan semestinya ditentukan oleh jenis makanan, tempat tinggal, pakaian dan seumpamanya. Ia ditentukan oleh kadar nikmat yang ALLAH kurniakan ketika kita menikmati perkara-perkara tersebut.

Maka, janganlah kita hairan jika ada orang yang lebih miskin atau hidup pada zahirnya sangat sederhana namun menikmati kehidupan melebihi mereka yang berada dalam kemewahan. Jangan pelik jika anak-anak pelarian di kem tahanan itu lebih menikmati kegembiraan dari anak-anak orang kaya yang hidup di rumah yang mewah.

Maka, mohonlah kepada ALLAH untuk DIA mengurniakan agar kita benar--benar dapat menikmati segala apa yang diberikan.

Dr MAZA, Mekah.

(Artikel dan gambar daripada page Facebook Dr MAZA)


No comments