STAY WITH US

header ads

Berhenti memandu jika mengantuk


DUNGUN: “Sekali terlelap dan mengantuk berhenti terus, jangan lawan, buruk padahnya,” pesanan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kemalangan terutama menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata, ada pengguna jalan raya yang disoal siasat mengaku kemalangan membabitkan kenderaan mereka berpunca akibat mengantuk.
“Mengantuk dan memandu laju antara punca banyak kemalangan berlaku, jadi sebab itu kita berkali-kali mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhenti buat seketika untuk berehat jika mengantuk.
“Sepanjang tahun lalu, daerah Dungun mencatatkan 52 kematian manakala sebanyak 15 kematian direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cenderahati dan risalah kemalangan sempena Ops Selamat dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Trafik di Sekatan Jalan Raya di Paka, di sini, malam tadi.
Baharudin berkata, tiga kawasan dikenal pasti lokasi panas kemalangan jalan raya iaitu Kilometer (KM) 78 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Pulau Serai; KM86 di Bukit Bauk dan KM100 di Paka.
“Selain itu, tiga lokasi lain adalah di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu di Paka, Bukit Besi dan Durian Mentangau.
“Seramai 20 anggota trafik akan melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi berkenaan dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Baharudin berkata, seramai 120 pemilik kediaman sudah mengisi borang meninggalkan kediaman sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Kita akan bergilir-gilir melakukan rondaan demi menjaga keselamatan kediaman mereka ini.
“Selain itu, kita turut menyarankan mereka yang meninggalkan rumah dapat membuka lampu di luar rumah bertujuan menyukarkan penjenayah untuk menceroboh masuk.
“Kita juga berharap orang ramai memainkan peranan untuk sama-sama membantu menjaga keselamatan kediaman jiran mereka, ” katanya.

Post a comment

0 Comments